Sabtu, 31 Disember 2011
Selasa, 5 Julai 2011
lagenda malam
Malam
adalah sekalung mutiara embun
untaian dari sejuta siang
amat tinggi nilainya
menitis pada genta hati
terpercik membasahi keresahan
dinginnya menjerap ke seluruh anggota
yang masih terkapa-kapa
meraba-raba
mencari makna
tersirat tapi tersurat
Diterbitkan oleh Majalah Jelita, Julai 1985
musibah ini
Musibah ini
menyerlahkan niat hati yang tak serasi ucapan
gergasi koperat mempaamerkan budi
dengan bantuan berlori-lori
mengharap simpati untuk tender berjuta
politikus pun menjuak muka untuk memancing simpati
bukan untuk mangsa yang sebelum ini
tiada siapa peduli
orang kampong penghuni setinggan
pelaut petani dan buruh yang kadang mengalas daun nipah
atau mengalas tong racun keserata bendang
bekerja sekadar cukup makan
Musibah ini
menyerlahkan niat hati yang tak serasi tugasan
menyerlahkan niat hati yang mengada-ngada
untuk menggalas sumbang pulang ke rumah
yang tak pernah dibanjiri air
atau menimbun bantuan diceruk dapur
Musibah ini
Menyerlah niat hati tak serasi kelakuan
mengintai peluang untuk menggalas kepunyaan orang
Musibah ini
bukan untuk kita insafi kemarahan ilahi
pada kita yang kerap lupa
membanjiri wajah dengan wuduk
sk nyonya 9/11/10
Diterbitkan oleh Akhbar Harian METRO, Varsiti, 10 Februari 2011
tupai
Terlepas tangan kekasih dari dahan oleh letusan peluru
Jatuh ke tanah bersama seulas durian
Mematah hasrat untuk menumpang nikmat Tuhan
Apakah itu balasan manusia ke atas kami
Yang telah lama menyemai benih dari bunga
Hingga ke buah meranum hasil berkoyan
Sedang tanah ladang hutan dengan rakus kalian gondolkan
Untuk menyendatkan tembolok
Dan kami penghuni berzaman
Mahu menyendal tembolok
Bagaimana…..?
sebuah perkenalan
Embun yang menitis
Membawa lagu bernada sepi
Diseketika sunyi
Adalah
Setitis tinta di hujung pena
Mengukir warna-warna
Antara bicara dan bicara
Sentuhan rasa yang menggetar kalbu
Kemesraan pun dialun
Mengocak ketenangan
Gementar awan dipagut rindu
Lalu
Angin diutus membawa restu
Langgan:
Catatan (Atom)
puteri
Puteri-puteriku kau belajarlah dengan tekun dan bersungguh-sungguh capailah cita-citamu dengan gigih dan jaya bersyukurlah di sini ...
-
Malam adalah sekalung mutiara embun untaian dari sejuta siang amat tinggi nilainya menitis pada genta hati terpercik membasahi keresahan din...
-
Embun yang menitis Membawa lagu bernada sepi Diseketika sunyi Adalah Setitis tinta di hujung pena Mengukir warna-warna Antara bicara dan bic...